Tentu saja semua yang ada diluar sana biasa mendengar ungkapan anak anak kecil ketika bermain. "TIPULAH" Kalau orang Melayu Singapura pula kata "BEDEKLAH". Tapi kalau orang putih kata "BULL$*IT". Namun orang Malaysia akan kata "TAK APA, BIASALAH". Lebih pedih lagi bila orang kampung kata " TAK APA BUKAN REZEKI KITA".
Yang gemok sampai boroi"SI PENIPU". Semua jadi dia punya. Manusia jenis ni memang rakus dan tak ada pantang larang dalam hidupnya. Hidup kaya raya dengan menipu sesiapa sahaja. Penampilannya meyakinkan. Mulut manis tapi lidah bercabang. Kalau berjanji, macam dunia ni dia yang punya.
Aku sendiri pernah mengalaminya. Kena dengan RISDA. Putar belitnya mengalahkan belitan ular sawa yang nak makan kambing. Janji manisnya, aaaaduhai buat aku rasa macam ketika dialam remaja masa bercinta. Tapi akhirnya abuk pun tadak. Bila ditanya mereka buat cerita "bangau oh bangau" Aku ingat cerita macam tu cuma ada masa aku budak budak dulu. Rupanya dah tua macam ni pun ada juga lagi cerita begitu.
RISDA PONTIAN kenakan aku laki/bini tahun 2010. Aku mohon bantuan tanam semula bulan Jun 2010. Pegawai luar Risda Stesyen Pekan Nenas En. Shahrudin datang periksa kebun. Kebun kami pun bukan seluas mana, cuma 3.5 ekar je macam orang dulu dulu kata "TANAH SEKANGKANG KERA". Julai 2010 Risda luluskan permohonan dengan bantuan RM8400.00. Lega betul rasa hati ketika tu. Syukur sangat doa kami makbul. Seminggu kemudian, RISDA PONTIAN minta salinan buku akaun Bank Simpanan Nasional, kononnya untuk buat bayaran bantuan tanaman semula mengikut jadual mereka. Ogos 2010 mula tebang dan bersihkan kebun lepas Risda Pontian beri kad putih. Masa kerja kerja tebang dan bersihkan kebun, satu mahluk pun dari Risda Pontian tak ada jengah. Ada juga hubungi pegawai luar yang periksa kebun dulu, tapi katanya dia tak dapat arahan dari RISDA PONTIAN untuk pantau kerja kerja tebang/bersih kebun aku. Pelik tapi benar, ianya memang begitu rupanya.
Bulan Oktober 2010 kebun siap tebang/bersih dan siap pancang tinggal tanam anak sawit je. Kad putih kami hantar sendiri KEPEJABAT RISDA DAERAH PONTIAN. Aku hubungi RISDA PONTIAN bahagian tanam semula untuk kepastian bila RISDA PONTIAN nak hantar anak sawit. Tau apa alasan mereka? Mereka kata "BAJET TAK ADA". KERAJAAN DAH TARIK BALIK SUBSIDI TANAM SEMULA!
Masuk akal ke alasan macam tu? Memanglah aku ni orang kampung. Tak sekolah tinggi dan berjawatan tinggi macam mereka. Tapi takanlah beri alasan bodoh macam tu. Lepas tu RISDA PONTIAN ni pulak stail mereka beritau pakai air liur je. Tak pakai surat pun. Lebih hairan bin ajaib lagi, kami tak pernah dapat jumpa manusia yang bergelar PEGAWAI RISDA DAERAH PONTIAN- Ketua Jabatanlah tuu. Bila datang nak jumpa mesti tak ada. Alasannya keluar meeting. Ditelefon pun gitu jugak. Tak ada, keluar meeting. Yang ada cuma socai yang pandai putar belit cerita dengan alasan yang sampai sekarang tak terungkai. SALMAH dari bahagian tanam semula beritahu aku agar bersabar. Tunggu sampai Januari 2011 ni. Tau lah aku ni kan orang kampong, agak lembab sikit nak faham alasan orang orang pandai ni. Tapi takan beri aku alasan mengarut gitu. Rasanya budak umur lima tahun pun akan kata "TIPU LAH".
Aku masih ingat masa aku remaja dulu, bila yang lebih dewasa marah mereka kata "CAKAP KENA PAKAI OTAK JANGAN ASAL BOLEH JE". Sekarang aku dah tua dan mengalami sendiri apa yang mereka katakan dulu. Memang ada jenis manusia yang "CAKAP ASAL BOLEH JE, TAK PAKAI OTAK"
Bila aku hubungi Pejabat Risda Negeri Johor lain pulak ceritanya. Mohd Zakaria Alang Ashari, Timbalan Pengarahnya pulak melopong bila ditanya. Tak tau apa yang berlaku. Dulu aku ingat orang kampung macam aku je yang macam katak bawah tempurung. Tapi ni lain pulak. Timbalan Pengarah tak tau hal sekelilingnya. Macam ni punya orang pun ada jugak. Tak tau apa anak buah dah buat kat orang kampung macam aku ni. Janji nak siasat dan selesaikan dalam seminggu. Sama je. Bapak Borek, Anak Rintik. Abok pun tarak.
Dah rasa teraniaya' aku ngadu kat BIRO PENGADUAN AWAM JOHOR. Tau tak apa dia orang cakap? Baik ambik lawyer. Banyak kes yang libatkan duit tak selesai. Tapi aku yakinkan diri, maklumlah BPA kan bawah Jabatan Perdana Menteri. MESTILAH POWER! BETUL BETUL POWER! Namun manalah tumpah kuah kalau bukan ke nasi. Sama je ceritanya. Berbelit belit macam rambut yang kusut. Walhal pekara ni sempoi je. Macam kata pegawai SPRM yang bual dengan aku dalam telepon dulu. Ada cakap ada. Tak ada cakap tak ada. Bukan putar belit.
Tapi nak cantikkan cerita, MARSHAL TENGARAJAH, Pengarah BPA Johor ada janji nak bawa kes aku sampai ke pejabat KETUA SETIAUSAHA NEGARA. "KSN" pulak. Dalam hati aku rasa macam cerita dongeng je. Dia cakap masa meeting dengan AINI RUHUMA ABDULLAH dan OMAR PAIMIN. Tapi yang buat aku sampai tak selera nak makan bila MARSHALL TENGARAJAH kata "LUPAKAN SEJARAH DAN JANGAN KOREK KOREK" Tadi kata nak bawa kes aku ke pejabat "KSN" tapi sekarang cakap benda lain pulak. LUPAKAN SEJARAH? Dia ni nak jadikan aku SI TANGGANG ke? Lupakan mak/bapak dan salasilah keturunan aku. Itu sejarah lah. Tapi bab korek korek ni memang aku tak berapa faham. Aku tanya dia, korek korek apa ni? Tak jawap.
Seingat aku, itulah meeting yang paling bodoh yang aku pernah hadiri. Tanya tak jawab. Jawap pun hal lain yang aku tak nak tau. Menjawab pun baca teks yang dah orang sediakan. Apa jenis manusia macam ni. Janji memang manis. Itu ini, begitu begini. Seronokkan bunyinya. Tapi sampai la ni... sama je ... semua janji tinggal janji.Tanam tebu tepi bibir. Cakap tak serupa bikin.
RISDA PONTIAN pulak cepat cepat "cover-up". Pindahkan pagawai yang periksa kabun aku awal Jun 2010 dulu ke BALING, KEDAH awal bulan Mac 2011. Kesian budak tu, baru kerja berapa bulan kat PEKAN NENAS, PONTIAN dah kena pindah kat hujung tanjung. Sikit lagi dah sampai SIAM.
Bulan Mei 2011 aku buat aduan "ONLINE" ke Biro Pengaduan Awam Kuala Lumpur. Tapi dipintas pulak BPA Johor kononnya kes aku dah tutup/selesai. Aku memang benar benar hairan bin ajaib. Kes dah selesai tapi tak dapat apa apa pun. Duit kocek aku yang rabak RM3000.00 bayar pekerja bersihkan kebun. Bertahun tahun aku kumpulkan laki/bini. Akhirnya jadi macam ni pulak. Nak macam mana, dah nasib kan? Kan lebih baik RISDA PONTIAN tolak je permohonan aku. Cakap bajet tak ada. Aku pun tak kecil hati. Taklah kopak RM3000.00 simpanan kami. Tapi dah memang nak kenakan orang kampung, jadi luluskan je atas kertas. Lepas tu cakap tak sempat bayar. Bajet tak ada. Kerajaan tarik balik subsidi.
Tapi nak jadi cerita, Aini Ruhuma Abdullah, PEGAWAI RISDA DAERAH PONTIAN kebetulan beritahu aku ketika ditalifon. Bukan aku je yang kena macam ni. Ada 27 pemohon lagi yang senasib dengan aku. AINI RUHUMA ABDULLAH ni pun timbul dalam kes aku lepas aku telefon MOHD ZAKARIA ALANG ASHARI kat PEJABAT RISDA NEGERI JOHOR. Sebelum ni dia memang tak pernah ada. Datang nak jumpa tak ada. Telefon nak cakap pun tak ada. Madang meeting je. Memang seboklah bunyi ceritanya. Mengalahkan PM pulak, hari hari meeting. Macam nak tubuhkan kerajaan baru je. PM pun ada masa nak jumpa orang kampung.
Yang layan cerita aku cuma SALMAH dan sesekali HASYIM. SALMAH memang pakar kelentong. Dari mula lagi dia dah kelentong aku. Kalau HASYIM lagi teror, siap tanya kat aku,"TAK ADA BAJET KE ATAU BELUM ADA BAJET". Aku pulak yang terlopong bila disoal begitu. Aku pulak yang disoal ada bajet atau tidak. Rupanya nak mohon bantuan tanam semula RISDA kena ada bajet jugak. Bila nasi dah jadi bubur gini, baru aku faham apa yang BAJET Hasyim maksudkan. Maklumlah, kan aku dah cakap sebelum ni. Aku ni jenis lembab sikit nak faham istilah pakar pakar kelentong ni. Seronoknya mereka ni dapat kenakan orang kampung macam aku dan yang 27 pemohon lain tu. Sampailah matlamat RISDA PONTIAN tahun 2010. Dah kenakan 28 pemohon. Seronoknya! Lagi pun, kebetulan BAJET 2010 TAK ADA! Aku doakan moga mereka mereka ini dapat anugerah pegawai cemerlang kerana bijak kenakan orang kampung macam aku.
Aku masih ingat, TV, surat khabar dan radio pun ada cerita pasal bajet 2010. PM sendiri yang cakap. Bukan dia suruh orang kampung macam aku yang cakap. PM kata "KERAJAAN SANGAT PERIHATIN TENTANG KEPAYAHAN PETANI DAN NELAYAN. BAGI MENJAGA KEPENTINGAN MEREKA DENGAN ITU KERAJAAN AKAN MEMPERUNTUKAN SUBSIDI, INSENTIF DAN BANTUAN BERJUMLAH 2 BILLION UNTUK PERTANIAN. Betul ke ni? Baaaaanyak tu. Tapi tiba tiba buruk siku pulak. KERAJAAN TARIK BALIK kata RISDA DAERAH PONTIAN/OMAR PAIMIN.
Aku pernah dengar subsidi petrol dan gula dikurangkan. Kecoh kat kedai kopi cerita pasal subsidi ni. Tapi aku tak pernah dengar pun subsidi tanam semual ditarik balik. TV, radio dan surat kabar pun tak ada cerita. Kedai kopi pun tak ada orang cakap. Taaaaaapi RISDA PONTIAN dan disokong oleh bosnya Omar Paimin kata "SUBSIDI TANAM SEMULA KERAJAAN TARIK BALIK" Kalau peruntukan tambahan aku ada tengok kat laman sesawang RISDA. Surat Pekeliling Bil[7] dlm 3.0/9960. 34/01 dikeluarkan 27hb.September 2010 oleh Ketua Pengarah Risda. Lepas tu ada RM6.04 juta peruntukan khas pulak yang diumumkan oleh Pengerusi Risda bulan Januari 2011. Hal ni aku tengok kat laman sesawang dia orang jugak. Tak ada pun cerita subsidi tanam semula ditarik balik.
OK lah, untuk kurangkan rasa tertekan, aku buat buat percaya cerita Omar Paimin tu. Tapi kenapa luluskan permohonan aku kalau bajet tak ada? Kenapa suruh aku jahanamkan kebun aku tu? Sekarang ni, aku hilang pendapatan dari tanah yang sekangkang kera tu. Lingkup RM3000.00 duit yang aku laki/bini kumpulkan bertahun tahun. Aku bukan anak orang senang macam dia orang. Banyak lobang duit. Tak tau kemana lagi nak ngadu. Masuk surat khabar pun tak jalan. Dua kali aku buat kenyataan akhbar setelah dibantu oleh kawan kawan yang prihatin dan kesian kat orang kampung macam aku. Buat laporan polis pun gitu jugak. Pegawai Polis perempuan telefon bini aku dan suruh settle dengan RISDA PONTIAN sendiri. Apa dah jadi dengan dunia ni? Kiamat dah dekat agaknya. Dah tak ada tempat nak ngadu. Pedih jantung aku. Aku yakin yang 27 orang yang senasib dengan aku pun tentu rasa gitu. Malangnya 27 orang ni pun aku tak kenal siapa mereka untuk mufakat selesaikan mistri ni.
Habis tu, aku pun kena cakap macam orang kampung yang lain "TAK APA! BIASA LAH! BUKAN REZEKI KITA! KENATIPUPUNTAKAPA.
Ulahan: Utar
22:42:42 @ 29hb. November 2011.
No comments:
Post a Comment